1992-2003 : Pertukaran Anggota, "Sampai Hati" & Puncak Kegemilangan Spring_(kugiran)

Seperti yang berlaku ketika proses rakaman album pertama, Spring sekali lagi diuji apabila pemain bassnya, Yunus menarik diri ketika proses rakaman album kedua sedang dijalankan. Ini telah memaksa Spring untuk mengambil pemain bass sementara iaitu Lan untuk mempercepatkan proses penyiapan album tersebut yang kemudiannya diberi judul Spring 2.. Sampai Hati pada hujung tahun 1992.

Di sebalik ujian yang melanda mereka, single dari album tersebut iaitu Sampai Hati telah mengubah nasib Spring apabila lagu tersebut menjadi siulan ramai seterusnya mencatatkan jualan yang membanggakan. Selain itu, lagu tersebut juga layak ke pertandingan akhir Pujaan 10 Nescafe dan Anugerah Juara Lagu ke-8 dalam kategori Balada. Ini sekaligus meniupkan semangat anggota Spring dalam menghasilkan karya-karya terbaik buat peminat-peminat mereka yang kemudiannya membawa kepada penghasilan album ketiga Spring, Bourgenvilla pada tahun 1994 yang meletup dengan lagu Bourgenvilla, Butakah Cinta dan Sepi Tanpa Cinta.

Bermula dengan album kompilasi pertama Spring iaitu Pujaan Gemilang yang dikeluarkan pada tahun 1995, mereka telah menerima anggota baharu iaitu Mohamad Riza bin Mahamad Amran atau Empy dari kumpulan Teja sebagai pemain bass tetap Spring. Sejak itu deretan hits seperti Cempaka Di Rembulan, Romantis, Persada Cintaku, Kerana Budi Ku Jatuh Hati dan Pesanan Buat Kekasih kerap diputarkan di stesen-stesen radio tempatan. Kumpulan ini juga turut mempopularkan rakaman menerusi lagu lagu yang bercorak akustik seperti Butakah Cinta, Sejujur Mana Kata-Kata dan Persada Cintaku hingga memberi pengaruh kepada banyak kumpulan pop rock yang seangkatan dengan mereka seperti Exists, Slam, U.K's dan Umbrella. Fenomena itu telah mendorong Spring untuk merakamkan kembali lagu yang memperkenalkan nama mereka iaitu Sejiwa di dalam versi akustik dalam album kompilasi Balada Gemilang. Walaupun pada pertengahan dan penghujung tahun 1990-an banyak kumpulan-kumpulan muzik baru yang muncul di industri muzik Malaysia dengan genre muzik serupa, namun Spring tetap utuh sebagai salah sebuah kumpulan muzik yang popular di Malaysia. Buktinya, Spring kembali mendaki puncak populariti pada penghujung 1990-an menerusi lagu popular mereka iaitu Kita Di Takdirkan Jatuh Cinta, Kerana Budi Ku Jatuh Hati dan Pesanan Buat Kekasih sedangkan beberapa kumpulan seangkatan tidak lagi mampu meraih jualan memberangsangkan.